Pages

Monday, March 28, 2011

Persinggahan Kami di Unit Vektor – Kumpulan 3

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua saudara dan saudari yang sudi mengunjungi blog PLK Klang ini…
Pada 14 hingga 25 Februari 2011, kami dari kumpulan 3 yang dianggotai oleh Muhammad Akramin Bin Muhamad @ Ahmad, Zamer Bin Ahmad Slleh, Azizi Bin Ariffin dan Muhammad Hafiz Bin Sahudin telah ditempatkan bersama Unit Vektor selama 2 minggu. Ketika kami berada di unit tersebut, terdapat beberapa aktiviti yang telah kami ikuti dan jalani bagi mencari pengalaman yang secukupnya sebelum kami keluar bekerja nanti.

Antara aktiviti yang kamin telah ikuti adalah :
1. Penyiasatan kes denggi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
2. Review Kes Denggi.
3. Pemeriksaan Premis Aedes (PPA).
4. Semburan Berkabus/ Fogging.

Unit Vektor di PKD Klang
Sebelum kami terus kepada aktiviti yang telah dijalankan, elok rasanya jika kami memberikan sedikit gambaran mengenai latarbelakang Unit Vektor PKD Klang ini. Diketuai oleh PPKP U32, En. Peter Tong dan 5 orang PPKP U29 iaitu, En. Ismail Bin Shamsuddin, En. Nadzri, Cik Norziana, Pn. Muzalawati dan En. Faris. Dibawah mereka terdapat seramai 17 anggota yang terdiri daripada PKA dan PRA.


Di bawah Unit Vektor ini, mereka dibahagikan kepada beberapa buah unit kecil. Antaranya ialah :
i. Unit Siasatan Kes Denggi yang diselia oleh PPKP Cik Norziana dan Puan Muzalawati.
ii. Unit Kawalan dan Pencegahan yang diselia oleh En. Ismail Bin Shamsuddin.
iii. Unit Pendidikan Kesihatan yang diselia oleh En.Nadzri.
iv. Unit Malaria yang diselia oleh En. Faris.

AKTIVITI 1: PENYIASATAN KES DENGGI DI HTAR.
Penyiasatan kes adalah penting untuk mengetahui punca jangkitan sesuatu penyakit. Di Unit Vektor ini, kami telah menyiasat beberapa kes denggi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bersama-sama dengan dua orang PPKP U29 dari Unit Siasatan Kes Denggi PKD Klang iaitu, Cik Norziana dan Puan Muzalawati serta dibantu oleh dua orang PPKP U29 dari Majlis Perbandaran Klang.

Untuk aktiviti ini kami diberi peluang oleh PPKP Cik Norziana untuk menyiasat sendiri kes denggi di HTAR. Sebelum memulakan siasatan kes, kami diberikan sedikit taklimat oleh beliau mengenai prosedur siasatan yang akan dibuat nanti. Beliau menerangkan kepada kami mengenai perkara yang perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas penyiasatan dilakukan. Semasa tiba di HTAR, kami bergegas ke bilik gerakan untuk bertemu dengan M.A di sana untuk mengambil borang notifikasi. Selesai mengambil borang, kami terus menuju ke wad yang tertera di borang untuk menyemak fail maklumat pesakit. Data – data yang berkaitan seperti tekanan darah, suhu badan, PCV, White Blood cell, diagnosa terkini dan plate count diambil dan diisi ke dalam borang. Selepas selesai mengambil data, kami terus pergi kepada pesakit untuk menemuramah beliau untuk mengambil maklumat tentang alamat semasa, tarikh onset dan juga jadual pergerakan pesakit. Ini sangat penting untuk mengetahui di mana pesakit itu berada dan juga punca jangkitan supaya langkah pencegahan dapat dijalankan dengan berkesan. Selesai menyiasat kami pulang dan bersedia untuk ‘review’
kes.

AKTIVITI 2 : REVIEW KES
Pada sebelah petang kami bermesyuarat di bilik gerakan vektor untuk review kes yang disiasat. Ini penting untuk mengesahkan kes demam denggi dan juga menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan. Seorang pegawai epid iaitu Dr Noriah Bt Samad merupakan tempat rujukan kami semasa review kes. Dr Noriah menentukan sama ada kes diterima atau ditolak. Jika kes diterima, aktiviti pencegahan dan kawalan akan dijalankan di kawasan tempat tinggal pesakit. Setiap hari kami menerima hampir 5 kes denggi di daerah Klang ini.

AKITIVITI 3 : PEMERIKSAAN PREMIS AEDES
Setelah sesuatu kawasan dikenalpasti bermasalah, kami ke bilik kawalan pada keesokan hari untuk Roll Call dan menentukan kumpulan untuk bergerak bagi menjalankan aktiviti Pemeriksaan Premis Aedes.

Selepas itu kami bergerak ke kawasan tersebut untuk membuat pemeriksaan. Kami telah dipecahkan kepada 2 kumpulan, yang mana Muhammad Akramin dan Muhammad Hafiz bersama-sama PKA Shahrul telah pergi ke Apartment Amazing Heights di Sungai Udang, manakala Azizi dan Zamer bersama-sama PKA Helmi telah pergi Apartment Vista Bayu Perdana di Jalan Batu Unjur. Kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah dan membuat pemeriksaan serta memberi risalah tentang demam denggi berserta notis penyemburan kabus yang akan dilakukan pada sebelah petangnya.

Akitiviti ini sangat memenatkan dan juga mencabar kerana ia menguji kesabaran diri. Terdapat beberapa masalah yang kami hadapi. Antaranya seperti tidak mendapat kerjasama penduduk dan juga penduduk yang keluar bekerja di waktu pagi. Tetapi kami tetap berjaya melakukan tugas yang diberikan.


AKTIVITI 4 : SEMBURAN KABUS @ FOGGING
Selepas membuat PPA pada sebelah paginya, kami kembali ke pejabat Unit Vektor untuk membuat pembahagian kumpulan dan persediaan bagi membuat Semburan Berkabus atau Fogging di kawasan lokaliti kes denggi tadi. Antara persediaan yang telah dibuat adalah memeriksa alat perlindungan diri (PPE) seperti ear muff, goggle dan respirator bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan ketika di lapangan nanti.

Setelah selesai kerja di pejabat, kami menuju ke stor simpanan unit Vektor di Klinik Kesihatan Pandamaran untuk melihat proses bancuhan racun yang akan digunakan untuk semburan nanti. Bancuhan racun dibuat dengan kadar berbeza mengikut jenis-jenis racun dan cara semburan yang akan digunakan. Kami kemudiannya diajar cara-cara untuk menghidupkan mesin Fogging serta menunjukkan cara dan teknik semburan yang betul. Kami juga diajar cara-cara untuk menyelenggara mesin Fogging.

Selepas itu, lebih kurang dalam pukul 5.45, kami menuju ke lapangan masing - masing untuk membuat semburan kabus. Kami memulakan semburan dari pukul 6.30 petang sehingga pukul 7.30 malam. Selepas selesai semburan dan menyimpan mesin fogging, kami pulang ke rumah. Begitulah aktiviti kami sepanjang di Unit Vektor PKD Klang.

stor vektor di klinik kesihatan pandamaran



semburan kabus terma dilakukan oleh pelatih ppkp akramin

No comments:

Post a Comment